KERA & PEMIKIRAN

|


Inilah 'Siti'..

seekor kera gunung yang tidak berekor dan

tergolong dalam spesis yang hampir pupus..haha..




Nampaknya 'Siti' terkesima melihat jejaka nsem muncul entah dari mana..hihi..



Bila nyembang bab 'kera' nih.. rakan-rakan sering menuding wajah mereka kepada aku.. alahai.. dok ngapelah,haha.. ada le beberapa manusia 'bukan kera' harap2nya..huhu, minta aku menulis sedikit. Ini hanya apa yang aku faham.. moga beroleh manfaat.


“Pecahkanlah kerangka pemikiran kera kalian”. Inilah satu ungkapan yang sengaja dicetuskan. Bukan apa, sengaja ingin melihat wajah-wajah persepsi yang pelbagai timbul pada kaca mata fikir hamba-hamba Allah seantero alam. Ia bukanlah ungkapan main-mainan. Bukan juga ungkapan yang mengharapkan publisiti murahan. Akan tetapi ungkapan tersebut boleh dipenuhi dengan ruang buka bicara multi-kreatif dalam memberi impak yang positif kearah meng-aslih-kan diri dan muka bumi menjadi kaya, selamat, bahagia, tenang dan sejahtera. Satu ungkapan yang tidak mendasarkan ‘kena terima’ atau ‘kena paksa terima’ sebagai salah satu doktrin dalam menjalani kehidupan seharian. Tidak. Tidak sesekali. Satu ungkapan yang membawa fahaman baru? Tidak juga. Bergantung kepada si pendengar mahu pun si penilai dalam memberi penilaian yang bijaksana. Yang pastinya, ungkapan ini cukup mengusik benak fikir si pendengar. Persoalannya, adakah diri berasa terusik dek kerana bait kata ungkapan tersebut? atau adakah terusik dek kerana gaya intonasi bahasa si pengungkap tatkala ia diungkapkan? Atau terusikkah mereka kerana ia diiringi dengan ‘body language’ yang mengusik mata si pelihat? Atau si pendengar sebenarnya sungguh terusik kerana elemen-elemen dalam 3 persoalan ‘adakah’ itu diselari-nyatakan ketika ungkapan tersebut diungkapkan. Entah, aku tidak tahu.

Berbalik kepada isi ungkapan. Persoalan yang sering ditimbulkan oleh para pendengar sering berbunyi begini: kenapa guna kera? Bentuk soalan yang diberi oleh orang kebanyakan. Kenapa kera dikaitkan dengan pemikiran? Rupa bentuk soalan hampir kebanyakan kelompok mahasiswa. Apakah titik perkaitan antara kera dan pemikiran manusia, dan apakah yang dimaksudkan dengan pecah jika ia disifatkan sebagai satu perbuatan yang perlu kepada daya tujah kepada pemikiran yang dikatakan kera itu? Ini pula adalah bentuk soalan oleh puak yang berdaya ‘integrated intelligence’ yang tinggi. Soalan gini yang buat aku pening mula2 sehingga meminta ianya diulangi semula. Tapi bagus. Bentuk soalan yang sebegini membantu aku dalam spesifikasi perkongsian jawapan & ia lebih terarah kepada jawapan yang sesuai bagi memenuhi kehendak si penanya soalan tersebut. Hahaha. Sengaja ketawa. Jangan risau, tidak sampai benak hati jika ketawa yang sebegitu. Ketawa sinis melihat ‘reply’ manusia-manusia yang mendengar ia buat pertama kalinya begitu juga persoalan yang pelbagai dilontarkan oleh mereka. Kesimpulan pertama yang dapat aku simpulkan selepas apa yang berlaku adalah Al-Quran sememangnya sebenar-benar perkara. Al-Quran mempunyai keupayaan membawa kejutan kepada pemikiran. Ungkapan “Pecahkanlah kerangka pemikiran kera” ini tercetus selepas berlaku ‘lihat-lihat’ pada terjemahan Al-Quran, surah Al-A’raf ayat 165-166 yang bermaksud:

“Maka setelah mereka melupakan apa yang diperingatkan kepada mereka, kami selamatkan orang-orang yang melarang orang berbuat jahat dan kami timpakan kepada orang-orang yang zalim siksaan yang keras, disebabkan mereka selalu berbuat fasik”

‘Maka setelah mereka bersikap sombong terhadap segala apa yang dilarang. Kami katakan kepada mereka, “jadilah kamu kera yang hina”.’

Bagi menjawab persoalan pelbagai yang dilontarkan, aku akan cuba berkongsi apa yang aku fahami. Hanya perkongsian, agar boleh dilihat-lihat dan difikir-fikir. Aku telah melakukan sesi observasi terhadap habitat dan tabiat makhluk haiwan yang diberi nama KERA. Dari situlah terbit nikmat faham mengapa Allah Taala memberi tempat kepada ‘ kera’ dalam Al-Quran yang mulia. Memerhati kepada kera atau monyet ini, puak ini cukup berasa selesa dengan pokok sebagai mahligai kehidupan. Kera hanya mampu melihat pokok pada rupa bentuk pokok sahaja. Ia selesa melihat dahan, daun dan buah sebagai bahan kegunaan kehidupan. Jangan diganggu pokok tersebut, kera akan bercempera mengamuk dengan bisingan suara yang menggamatkan suasana. Itulah.. jangan diganggu sempadan kebebasan kera., habis kita dimarahnya. Alahai kera... haaa.. selain itu, kera juga berasa selesa dengan kejahilan keturunannya. Kera tidak pernah mengimpikan mahligai yang utuh bertiang dan teguh beratap. Beribu tahun gamaknya keturunan kera hidup dengan pokok akan tetapi tetap jahil akan makna papan.

Mungkin kita boleh memahami dengan kronologi yang sebegini. Kera kenal akan apa itu buah rambutan. Ya.. memang sinonim kera dengan rambutan. Ada seorang manusia bertanya kepada kera: buah apakah ini? Kera menjawab:Alahai, Buah rambutan le.. seminggu selepas itu, manusia itu datang kembali membawa satu balang yang cantik berlabel ‘ jem rambutan’ siap harga dan senarai ramuan pada balang tersebut. Lalu manusia menyapa sang kera lagi: Ini rambutan ni.. Kera menjadi bingung lalu menjawab: eh, apa ko bawak nih? Ini bukan rambutan! Manusia: ya rambutan.. lagi bagus, lambat busuk, tahan lama, dan harganya RM 4.50 sahaja. Kera: tak..tak. ini bukan rambutan, apa yang ko bawak nih? Manusia: rambutan, jem rambutan. Kera: takde2.. aku tau rambutan adalah ini, warnanya merah ada jerabai2 duduk kat ranting pokok.. lantak le ko nak cakap apa. Rambutan yang aku tahu duduknya di pokok. Hmm.. Apa yang perlu difahami dalam kronologi tersebut, kera hanya kenal buah rambutan di dahan pokok rambutan. Kera tidak kenal buah rambutan di dalam bekas yang sudah berevolusi menjadi produk terkini. Kera tidak mahu menerima perubahan tersebut. Terus hanyut dalam ruang kedegilan & kesombongan menolak kebenaran terkini bahawa buah rambutan boleh berubah bentuk. Inilah perumpaan kepada manusia yang mengakui akan kemanusiaannya akan tetapi melihat Al-Quran dalam rupa bentuk Al-Quran semata-mata tanpa terzahir Furqan di alam nyata.

Begitulah serba sedikit kronologi. Apa yang hendak dikaitkan antara kera dengan manusia adalah dalam konteks berfikir. Sememangnya jauh manusia dengan kera dalam konteks pemikiran. Kera tidak mampu berfikir, manusia mampu. Persoalan yang ingin ditimbulkan adalah sejauh mana manusia mampu menggunakan aqal fikirnya bagi menjana, menerima dan kreatif terhadap perubahan? Sejauh mana kita dapat membenarkan bahawa Islam yang kita junjung adalah futuristik terhadap perubahan melalui perbuatan? Adakah selama-lamanya kita hanya mampu menjaja dan bermegah dengan kisah para sahabat, tabi’-tabi’in dan tokoh-tokoh dunia ketamadunan Islam yang lalu tanpa terbit secara praktikalnya bagi menjana satu sistem ketamadunan Islam yang terkini?

Berbicara mengenai perubahan. Dalam melakukan perubahan, cara berfikir perlu berubah. Dalam ertikata yang lain, perlu berlakunya ‘pecah & bina’ pada pemikiran, bermaksud memecahkan kerangka kura-kura diri yang tidak mahu untuk keluar dari kebiasaan diri yang tidak memberi untung kepada diri & kehidupan (kura-kura le plak..hahaha). Ia juga bermaksud, menerima perubahan seandainya gelombang perubahan hadir,apabila nasihat dan peringatan diberi berdasarkan R&D terhadap perkara-perkara yang lalu, setelah bukti-bukti kejadian diketengahkan bahawa jika melakukan perkara sebegini akan merugikan kelak di masa hadapan dan jika melakukan sebaliknya akan menguntungkan diri di kemudian hari. Luasan jelajahan aqal mampu untuk pergi jauh jika manusia ingin kearah itu. Namun apakan daya, kebanyakannya suka menggunakan kekuatan fizikal bagi mencapai tujuan. Lebih sahaja kudrat badan dan perkataan, aqal pendek. Moga kita jauh dari kelompok yang sebegitu.

Fuh.. penat. Tidak tahu untuk menulis apa kerana banyak perkara yang boleh ditulis jika ada kehendak lebih sedikit,huhu.. akhir kata untuk maqallah ringan ini, jangan malu atau berburuk sangka untuk menadah ilmu pada manusia yang luar dari kebiasaan kita. Lihat kembali resmi perjalanan ilmu manusia-manusia hebat dahulu yang menyumbang ilmu. Keberanian dan keikhlasan qalb membantu gerakan ilmiah mereka lalu mengejutkan ‘kera’ yang akhirnya sedar untuk kembali kepada sifat fitrah suci manusiawi bagi bersama menyumbang bakti.Jangan sombong & degil menerima perubahan yang baik walau ia bukan dengan kebiasaan cara kita.'Siti' mampu menerima perubahan untuk merantau jauh dari pergunungan sehingga sampai di perkampungan. Kita bagaimana? jangan jadi 'kera' yang hina. Manusia yang hina tidak mengapa. Hina sebagai hamba. Kehambaan kepada Sang Pencipta. Jangan hanya melihat dengan 2 biji mata. Lihatlah sesuatu dengan 3 biji mata anugerah Allah Yang Maha Bijaksana. Sekian sahaja. Adoi letih dan sedey cket.. Aku masih tercongok di desa anggerik mananti hari untuk pulang ke kampong halaman..hoho :p



Entahlah.. gamaknya begitu..

|




Jiwa dan jasad terhenti dari kebiasaan cara pergerakan normal. Terkedu.. Rasa hiba menguasai suasana. Tersenyum pula .. Wujud rasa girang penuh dengan tanda syukur. Pilu hadir.. Ukiran senyuman terhenti seketika. Entah kenapa dua biji mata terasa semacam basah. Basah? Kenapa? Rasa pelik. Minda separa sedar mula memainkan peranan. Tanpa perlu dinanti, bekas takungan kelopak mata sudah tidak mampu menampung komodisi air takungan semulajadi yang mengalir keluar dari celah-celah rongga natural biji mata. Ruang kepala terasa semakin berat. Beratnya tanggungan “Huda” & “Rahmah” … Manusia tetap manusia. Tiada daya upaya dalam menanggung kehebatan anugerah suci Tuhan yang Maha Pengasih lagi Maha Pengampun kepada hamba-hambaNya. Lalu berderai luhur air mata insaf penuh syukur kerana diberi peluang berdiri sebagai umat Muhammad Al-Amin.

Ini adalah satu luahan. Luahan yang telah diceritakan & diolah semula berdasarkan peristiwa asal seorang Umat akhir zaman era millennium pasca-modenisme ketika kini yang terpukul manja jiwanya selepas menonton “Ar-Risalah” (cerita lama..). Mungkin ada yang tertanya ingin tahu lebih lanjut tentang peristiwa sirah yang telah berlaku. Mungkin ada yang terus mengambil dasar enteng terhadap peritiwa yang pernah berlaku lebih kurang seribu empat ratus tahun dahulu yang telah mencetus seribu satu macam fenomena kepada dunia seluruhnya. Satu Fenomena Tauhid. Jika diberikan kepada saya untuk mengklasifikasikan fenomena tersebut secara Ijmali terhadap peristiwa yang telah berlaku. Mungkin juga ada yang terus enak mendendangkan sirah Muhammad S.A.W di majlis-majlis yang bersifat keagamaan tatkala muncul ulangtahun kelahiran Baginda & juga pengulangan tarikh peristiwa Hijrah yang penuh bersejarah itu. Pengulangan penceritaan dengan kaedah penyampaian yang masih kekal dengan kaedah tradisi gaya pembicara-pembicara agama edisi tradisional (yang tiris kefahaman mereka tentang manhaj Ulama’ & Cendekiawan terdahulu). Apa hendak dibuatkan. Kebanyakan yang hadir adalah kanak-kanak tua yang dahagakan pahala & syurga hasil curahan ‘manis’ kata-kata pembicara agama. Hanya umur sahaja dimamah zaman menanti akhir hayat. Akan tetapi, tabiat beribadat masih kebudak-budakan. Masaelah..Masaelah . Musykil melihat telatah masyarakat & Guru. Maklumlah, saya hanya orang kampong. Kekadang musykil melihat kaedah mengaji agama masyarakat millennia. Patutlah, orang muda semakin tiris kehadiran mereka ke majlis-majlis keagamaan. Mungkin pada pengamatan mereka, ia sudah tidak relevan dalam kehendak semasa. Mungkin sudah tiada “roh” pemangkin kepada kesedaran & pembangunan diri yang hendak dipakai pada ketika kini dalam keadaan beribu-ribu puak atau jemaah yang terus menerus mengaku bahawa merekalah “Ghuraba’ sejati” di akhir zaman. Jemu sudah melihat. Mungkin.

Satu analisa peribadi. Bila diperhatikan kepada gambaran kisah penurunan wahyu yang pertama. “Iqra” menjadi satu sandaran kepada Muhammad S.A.W dalam mencetuskan satu titik permulaan terhadap manhaj risalah Baginda. Satu kaedah yang begitu jelas telah membuka satu lembaran baru kepada pendokong-pendokong fahaman jahiliah bagi membangkang fahaman terdahulu dengan menggantikan ia dengan fahaman terkini. Bermaksud, fahaman yang berteraskan kesatuan dalam perlakuan melalui perkongsian kefahaman & pengalaman bagi memangkin kesejahteraan. Satu konsep yang jelas tentang Pencipta & Penciptaan. Cukup hebat. Maka benarlah kekuatan wahyu mampu menumbang lupuskan kekuatan akal manusia yang terhad & lebih bersifat amarah jika tidak dipandu dengan Huda dan petunjuk dari Tuhan. Jika dilihat kembali, masyarakat pada ketika itu mengakui akan kehebatan Kalamullah di sudut hati kecil mereka. Akan tetapi, keegoan dan ketidakpenerimaan mereka tetap terus menguasai diri kerana kebenaran yang dibawa tidak kena dengan kefahaman turun-temurun, kata mereka. Ia juga dilihat terlalu pelik kerana perlakuan dan perkara yang dizahirkan Muhammad S.A.W tidak pernah dibuat orang. Tahap keilmuan yang dibawa Baginda cukup mencabar kewarasan & rasional masyarakat ketika itu.

Natijahnya, cemuhan dan kata-kata yang bersifat keji serta nista dilemparkan kepada baginda. Tetap dengan fitrah sebagai manusia, baginda tidak dapat lari dari diselubungi kesedihan, duka dan tidak berdayanya baginda menghadapi kerenah kejahilan masyarakat. Akan tetapi, Baginda tetap teguh. Teguh berpaksikan wahyu secara "direct supervision" dari Ilahi. Bukan mudah untuk membawa pembaharuan. Benar, bukan mudah. Kejadian yang sama tetap berlaku di kala ini. Bak kata pepatah, “sama tapi tak serupa”. Usahlah kita sering menuding jari terhadap pengaruh yang dilihat luar dari kebiasaan pegangan kita. Sering kita istilahkan sebagai pengaruh Toghut, Kuffar, kafir la’nat, lagi-lagi istilah ‘cina makan BABBI’ dan sebagainya. Pengaruh-pengaruh luar tersebut dikatakan menjadi penyebab kepada ketirisan watak umat ketika ini. Benar, ia adalah faktor pemangkin yang bersifat semasa terus mengulit jiwa umat untuk terus lalai dari persada Islam sebagai cara hidup. Entah kenapa akhir-akhir ini, apa yang dilihat, tudingan jari itu wajar rasanya ditujukan lebih kepada manusia-manusia yang berpengetahuan (mengaji). Entah kenapa juga, punca permasalahan lebih terarah kepada manusia yang ‘tahu’ yang dikatakan reti dan mengerti dalam hal ehwal keagamaan. Benarkah begitu? Entah, aku tidak tahu.


Masih berbicara dalam institusi Iqra’. Saya cuba melihat Pengolahan Iqra’ dari perspektif yang berbeza. Apabila berbicara dalam soal ini, Seharusnya tidak akan timbul isu penafian kepada pentafsiran Pemikir dan Cendekiawan Islam terdahulu. Mereka tetap hebat dengan cetusan ilmu mereka yang membawa perubahan dan kemajuan kepada mukabumi. Apa yang hendak saya nyatakan lebih kepada cetusan manfaat pelbagai terhadap konsep Iqra’. Konsep Iqra’ sewajarnya perlu dikaji dengan lebih holistik tanpa perlu terlalu takluk kepada pentafsiran terdahulu. Umpama taklid membuta tuli yang akhirnya menyebabkan tumbesaran ilmu menjadi kaku umpama “dormant seed”. Berkembang sahaja, terus dicantas kerana tidak cantik kata pengubah pokok. Pengubah pokok hanya berkehendakkan kepada pokok bonsai yang cantik bagi mata memandangnya namun tidak dapat memberi manfaat pelbagai kepada makhluk. Pokok bonsai tetap dengan kecantikannya. Perlu ingat, bukan semua berkenan dengan 'kecantikan' bonsai. Itulah keadaan Al-Quran pada ketika ini. Cantik dengan hiasnya, dibelai dan dijaga dengan rapi, digantung ayat-ayatnya semata sebagai perhiasan bagi menyatakan keislaman si penggantung ayat (kedai mamak).

Majoriti umat pada ketika ini pula memang pandai manjaga AlQuran. Disuruh jaga, memang akan dijaga sungguh-sungguh. Lihatlah kesannya pada ketika ini, betapa jauhnya Umat Islam ketinggalan dalam hal ehwal keduniaan. Kemajuan dalam konteks keduniaan terus dipacu hebat oleh barat yang memanipulasi segenap isi ilmu dalam pembangunan dunia. Ia terarah murni kepada perencanaan budaya "Westernization" yang didasari oleh nafsu rakus kemusnahan fikrah dan ketirisan jiwa. Lihat sahaja filem terbaru Roland Emmerich: 2012 yang dicanang hebat sebagai kejadian 'appocalipse' yang wajar diterima sebagai "prediction" mungkar untuk diimani masyarakat dunia. Mereka berduit. Itulah alat keduniaan yang mereka gunakan dan itu jualah alat yang kita sering intepretasikan sebagai "pembawa kerosakan kepada jiwa & agama". Rugi..rugi + bodoh keldai. Apa hendak dibuatkan, Guru kala ini suka berpesan tinggalkan dunia..tinggalkan dunia..tinggalkan dunia..dunia membutakan hati.. tanpa disusuli penerangan yang hikmah untuk dijadikan sandaran. Peringatan kepada diri yang berbicara, ilmu yang diperturunkan Allah (Al-Quran) di muka bumi adalah untuk memajukan seluruh alam dan segala isinya sesuai dengan tanggungjawab manusia sebagai khalifah di muka bumi, bukan khalifah di Syurga atau Neraka. Rujuk kembali surah Al-Baqarah ayat 30-38. Ilmu (Al-Quran) yang diperturunkan adalah untuk digunapakai di sini, ia sudah tidak bermakna untuk digunapakai di alam sana. Dunia & segala isinya wajar dibangunkan supaya manusia faham keperluan untuk menetap di alam abadi yang tiada susah hanyalah nikmat & selamat jika natijahnya adalah Syurga dan begitulah sebaliknya.

Berbicara tentang ilmu. Ilmu yang baik, walaupun tidak pernah terwujud pada pengamatan melalui peraturan keilmuan & pengajian kita, janganlah cepat dicantas hanya dek kerana ia mencabar kewarasan dan rasional pemikiran kita pada ketika ini. Lihatlah sunnah sejarah cendekiawan-cendekiawan terdahulu. Cetusan ilmu yang terwujud daripada mereka sering mencabar kewarasan aqliah masyarakat pada zaman tersebut. Mereka dipulau, mereka dipenjara & diseksa, mereka digelar gila atas penemuan mereka. Perlu kita ingat, jika tidak kerana kegilaan mereka, usahlah kita bermimpi merasai kemudahan dan kesenangan pada ketika ini. Jika tidak kerana ke’gila’an Muhammad S.A.W meninggalkan kulitnya Makkah & segala isinya untuk berhijrah ke persada baru iaitu Madinah, Usahlah kita berimpi bertuhankan Allah di saat ini. Wahai para pencinta ilmu, Sekiranya manusia-manusia pelik seperti itu wujud di kala ini, janganlah kita mengulangi sejarah kebodohan dan kejumudan puak-puak yang tidak mahu menerima perubahan dan pembaharuan tersebut. Kerana kita adalah orang-orang yang di katakan mengaji (konon Ulul Albab..) dan seharusnya lebih mengerti dari yang lain. Jika tidak, kita akan terus hanyut tenggelam dengan retorik pemikiran yang menjadi pegangan kerana menolak kebenaran yang sedia ada. Inilah pengajaran yang wajar diambil melalui kisah Nuh A.S. Janganlah hidup umpama burung kakak Tua. Segala apa bala dalil Al-Quran & Hadis mampu dikeluarkan melalui lafaz, akan tetapi tidak mampu dipertahankan melalui perbuatan. Pada masa yang sama, perlulah pandai membezakan antara tajdid, bid’ah dan liberal. Janganlah disamakan ia menjadi satu supaya tidak timbul lagi istilah Islam gaya orthodox & Islam gaya moden. Sungguh kera siapa yang suka mengungkapkan demikian. Rugi..Rugi. Janganlah cepat bercempara melatah apabila sesuatu isu timbul. Kera sahaja yang layak begitu.

Begitulah hebatnya institusi Iqra’ gagasan Muhammad S.A.W yang berteraskan ilmu yang menjangkau zaman & pemikiran. Oleh itu, janganlah suka mencatas pokok orang lain kerana di rasa tidak sesuai dengan pokok kita. Ambillah pedoman terhadap manfaat ilmu yang tunasnya menjulang tinggi sampai ke langit, teras akarnya kukuh tidak dihalang tumbesarannya lalu memberi manfaat pelbagai kepada alam sejagat. Rujuklah Surah Ibrahim ayat 24 moga beroleh manfaat bersama. Sejarah pasti berulang. Umpama yang di kata “sama tapi tak serupa”. Jika masyarakat jahiliyah dahulu hebat dalam membangkang kebenaran, janganlah kita pada ketika ini mengulangi ia dalam prospek yang lebih celaka daripada masyarakat Jahiliyah. Mengaku Islam tetapi menafikan kerelevenan Al-Quran boleh dipakai sepanjang zaman terutamanya dalam aspek kemajuan. Menafikan kehendak ilmu yang sifatnya sentiasa berkembang dek kerana wujudnya waris-waris Muhammad S.A.W yang hendak berfikir. Biarlah golongan-golongan retorik kekal dengan kebanggaan mereka terhadap pembicara-pembicara yang melakonkan watak-watak waris serba kekurangan. Itulah yang sering mereka nampak & sering mereka banggakan. Biarlah… semoga bersama kita peroleh rahmat dan redho daripadaNya biarpun ramai dikalangan Umat Muhammad S.A.W pada ketika ini mengaku bahawa Baginda tidak tahu membaca & menulis dek hanya kerana tohmahan orientalis yang bijak memacu persoalan. Baginda tidak pernah berdusta.. Ingatlah baginda suci dari segala kekurangan. Akhir kata, Jangan takut untuk manjadi “gila” kerana itulah sunnah Muhammad S.A.W. Moga beroleh kebaikan dalam bicara yang serba kurang ini.

p/s : sengaja menggunakan "saya" sebagai ganti nama diri..haha.. best2! Terima kasih kepada rakan-rakan seperbincangan yang suka "memabukkan diri" di waktu malam berbincang pengalaman & kajian masing2.

RUANG SANTAI & FIKIR (Muka Satu)...

|



Suatu renungan, moga beroleh kedamaian.Tidakkah kita melihat betapa bijak paku & kayu membina satu bangunan atas dasar mengukuh & melengkapkan? Wahai para pendamba ukhuwah yang suci, paku bersaiz 3 inci secara pastinya tahu ia tidak akan mampu mengukuhkan tiang seri, dinding & atap tanpa bersama bertaut tenaga dengan paku 7inci, 9inci mahupun 21 inci bagi memastikan jenis kayu yang pelbagai ditaut kukuh bagi membina satu bangunan yang teguh. Kayu pula tidak teragak2 membiarkan paku yang pelbagai singgah secara pasti pada permukaan kayu kerana kayu tahu nikmat yang mendatang lebih besar manfaatnya kerana membantu mencipta perubahan kepada diri dalam suasana pembaharuan yang cukup membina. Begitulah berhikmahnya Tuhan dalam memahamkan hamba-hambaNya melalui amthal2 keagungan penciptaanNya. Maka berkawanlah kita umpama paku. Saiz kefahaman & kebolehan berbeza. Namun tetap bersama2 mengukuhkan antara satu sama lain bagi mengisi kekurangan demi memperoleh kesejahteraan. Justeru itu, Nikmat Allah yang manakah yang mahu ditipu?

p/s : Ungkapan ini tercetus selepas 2 orang minah & seorang boy menghantar "regards - happy friendship day" mereka kepada teman melalui e-mail. Deme paling awal sekali wish ke teman.. hehe..

Satu Permulaan...

|

Hmm.. Entah kenapa rasa hendak berkecimpung dalam dunia "Bloggers". Hati berkehendak kuat, jasad semacam tidak mahu. Memandangkan ia menjadi keperluan bagi mengasah keterbukaan ilmu melalui pergaulan maya yang santai, aku redah saje le... hehe..

Tujuan..

Tidak lain dan tidak bukan, aku mengharapkan perkongsian ilmu dan pengalaman daripada para "bloggers". Perkongsian bagi mengisi ketidaktahuan aku dalam banyak perkara. Maklumlah, aku ni budak kampung. Hati menjulang tinggi berjelira terhadap pengisian ilmu. Mengharap kepada berlakunya proses kefahaman melalui perkongsian bersama, juga sebagai satu sesi latihan terhadap penulisan. Tidak lebih & tidak kurang, hanyalah sebagai sesi perkongsian bersama..

Kaedah baca..

Bila membaca penulisan murah teman ni.. kene baca perlahan-lahan le.. jangan laju2.. umpama membaca Al-Quran, ada hentian-hentiannya (mahattoh) . Maklumlah, kekadang bahasa berbunga, kekadang berbelit (saje bagi kome pening..haha..), kadang2 straight forward.. Bila sudah selesai membaca, berikan komentar & buah fikir kalian. Itu yang aku nak pOn.. YesYes!

Harapan..

Janganlah terlalu formal ye.. Mengarutlah bebanyak..haha.. Yesyes!