Entahlah.. gamaknya begitu..

|




Jiwa dan jasad terhenti dari kebiasaan cara pergerakan normal. Terkedu.. Rasa hiba menguasai suasana. Tersenyum pula .. Wujud rasa girang penuh dengan tanda syukur. Pilu hadir.. Ukiran senyuman terhenti seketika. Entah kenapa dua biji mata terasa semacam basah. Basah? Kenapa? Rasa pelik. Minda separa sedar mula memainkan peranan. Tanpa perlu dinanti, bekas takungan kelopak mata sudah tidak mampu menampung komodisi air takungan semulajadi yang mengalir keluar dari celah-celah rongga natural biji mata. Ruang kepala terasa semakin berat. Beratnya tanggungan “Huda” & “Rahmah” … Manusia tetap manusia. Tiada daya upaya dalam menanggung kehebatan anugerah suci Tuhan yang Maha Pengasih lagi Maha Pengampun kepada hamba-hambaNya. Lalu berderai luhur air mata insaf penuh syukur kerana diberi peluang berdiri sebagai umat Muhammad Al-Amin.

Ini adalah satu luahan. Luahan yang telah diceritakan & diolah semula berdasarkan peristiwa asal seorang Umat akhir zaman era millennium pasca-modenisme ketika kini yang terpukul manja jiwanya selepas menonton “Ar-Risalah” (cerita lama..). Mungkin ada yang tertanya ingin tahu lebih lanjut tentang peristiwa sirah yang telah berlaku. Mungkin ada yang terus mengambil dasar enteng terhadap peritiwa yang pernah berlaku lebih kurang seribu empat ratus tahun dahulu yang telah mencetus seribu satu macam fenomena kepada dunia seluruhnya. Satu Fenomena Tauhid. Jika diberikan kepada saya untuk mengklasifikasikan fenomena tersebut secara Ijmali terhadap peristiwa yang telah berlaku. Mungkin juga ada yang terus enak mendendangkan sirah Muhammad S.A.W di majlis-majlis yang bersifat keagamaan tatkala muncul ulangtahun kelahiran Baginda & juga pengulangan tarikh peristiwa Hijrah yang penuh bersejarah itu. Pengulangan penceritaan dengan kaedah penyampaian yang masih kekal dengan kaedah tradisi gaya pembicara-pembicara agama edisi tradisional (yang tiris kefahaman mereka tentang manhaj Ulama’ & Cendekiawan terdahulu). Apa hendak dibuatkan. Kebanyakan yang hadir adalah kanak-kanak tua yang dahagakan pahala & syurga hasil curahan ‘manis’ kata-kata pembicara agama. Hanya umur sahaja dimamah zaman menanti akhir hayat. Akan tetapi, tabiat beribadat masih kebudak-budakan. Masaelah..Masaelah . Musykil melihat telatah masyarakat & Guru. Maklumlah, saya hanya orang kampong. Kekadang musykil melihat kaedah mengaji agama masyarakat millennia. Patutlah, orang muda semakin tiris kehadiran mereka ke majlis-majlis keagamaan. Mungkin pada pengamatan mereka, ia sudah tidak relevan dalam kehendak semasa. Mungkin sudah tiada “roh” pemangkin kepada kesedaran & pembangunan diri yang hendak dipakai pada ketika kini dalam keadaan beribu-ribu puak atau jemaah yang terus menerus mengaku bahawa merekalah “Ghuraba’ sejati” di akhir zaman. Jemu sudah melihat. Mungkin.

Satu analisa peribadi. Bila diperhatikan kepada gambaran kisah penurunan wahyu yang pertama. “Iqra” menjadi satu sandaran kepada Muhammad S.A.W dalam mencetuskan satu titik permulaan terhadap manhaj risalah Baginda. Satu kaedah yang begitu jelas telah membuka satu lembaran baru kepada pendokong-pendokong fahaman jahiliah bagi membangkang fahaman terdahulu dengan menggantikan ia dengan fahaman terkini. Bermaksud, fahaman yang berteraskan kesatuan dalam perlakuan melalui perkongsian kefahaman & pengalaman bagi memangkin kesejahteraan. Satu konsep yang jelas tentang Pencipta & Penciptaan. Cukup hebat. Maka benarlah kekuatan wahyu mampu menumbang lupuskan kekuatan akal manusia yang terhad & lebih bersifat amarah jika tidak dipandu dengan Huda dan petunjuk dari Tuhan. Jika dilihat kembali, masyarakat pada ketika itu mengakui akan kehebatan Kalamullah di sudut hati kecil mereka. Akan tetapi, keegoan dan ketidakpenerimaan mereka tetap terus menguasai diri kerana kebenaran yang dibawa tidak kena dengan kefahaman turun-temurun, kata mereka. Ia juga dilihat terlalu pelik kerana perlakuan dan perkara yang dizahirkan Muhammad S.A.W tidak pernah dibuat orang. Tahap keilmuan yang dibawa Baginda cukup mencabar kewarasan & rasional masyarakat ketika itu.

Natijahnya, cemuhan dan kata-kata yang bersifat keji serta nista dilemparkan kepada baginda. Tetap dengan fitrah sebagai manusia, baginda tidak dapat lari dari diselubungi kesedihan, duka dan tidak berdayanya baginda menghadapi kerenah kejahilan masyarakat. Akan tetapi, Baginda tetap teguh. Teguh berpaksikan wahyu secara "direct supervision" dari Ilahi. Bukan mudah untuk membawa pembaharuan. Benar, bukan mudah. Kejadian yang sama tetap berlaku di kala ini. Bak kata pepatah, “sama tapi tak serupa”. Usahlah kita sering menuding jari terhadap pengaruh yang dilihat luar dari kebiasaan pegangan kita. Sering kita istilahkan sebagai pengaruh Toghut, Kuffar, kafir la’nat, lagi-lagi istilah ‘cina makan BABBI’ dan sebagainya. Pengaruh-pengaruh luar tersebut dikatakan menjadi penyebab kepada ketirisan watak umat ketika ini. Benar, ia adalah faktor pemangkin yang bersifat semasa terus mengulit jiwa umat untuk terus lalai dari persada Islam sebagai cara hidup. Entah kenapa akhir-akhir ini, apa yang dilihat, tudingan jari itu wajar rasanya ditujukan lebih kepada manusia-manusia yang berpengetahuan (mengaji). Entah kenapa juga, punca permasalahan lebih terarah kepada manusia yang ‘tahu’ yang dikatakan reti dan mengerti dalam hal ehwal keagamaan. Benarkah begitu? Entah, aku tidak tahu.


Masih berbicara dalam institusi Iqra’. Saya cuba melihat Pengolahan Iqra’ dari perspektif yang berbeza. Apabila berbicara dalam soal ini, Seharusnya tidak akan timbul isu penafian kepada pentafsiran Pemikir dan Cendekiawan Islam terdahulu. Mereka tetap hebat dengan cetusan ilmu mereka yang membawa perubahan dan kemajuan kepada mukabumi. Apa yang hendak saya nyatakan lebih kepada cetusan manfaat pelbagai terhadap konsep Iqra’. Konsep Iqra’ sewajarnya perlu dikaji dengan lebih holistik tanpa perlu terlalu takluk kepada pentafsiran terdahulu. Umpama taklid membuta tuli yang akhirnya menyebabkan tumbesaran ilmu menjadi kaku umpama “dormant seed”. Berkembang sahaja, terus dicantas kerana tidak cantik kata pengubah pokok. Pengubah pokok hanya berkehendakkan kepada pokok bonsai yang cantik bagi mata memandangnya namun tidak dapat memberi manfaat pelbagai kepada makhluk. Pokok bonsai tetap dengan kecantikannya. Perlu ingat, bukan semua berkenan dengan 'kecantikan' bonsai. Itulah keadaan Al-Quran pada ketika ini. Cantik dengan hiasnya, dibelai dan dijaga dengan rapi, digantung ayat-ayatnya semata sebagai perhiasan bagi menyatakan keislaman si penggantung ayat (kedai mamak).

Majoriti umat pada ketika ini pula memang pandai manjaga AlQuran. Disuruh jaga, memang akan dijaga sungguh-sungguh. Lihatlah kesannya pada ketika ini, betapa jauhnya Umat Islam ketinggalan dalam hal ehwal keduniaan. Kemajuan dalam konteks keduniaan terus dipacu hebat oleh barat yang memanipulasi segenap isi ilmu dalam pembangunan dunia. Ia terarah murni kepada perencanaan budaya "Westernization" yang didasari oleh nafsu rakus kemusnahan fikrah dan ketirisan jiwa. Lihat sahaja filem terbaru Roland Emmerich: 2012 yang dicanang hebat sebagai kejadian 'appocalipse' yang wajar diterima sebagai "prediction" mungkar untuk diimani masyarakat dunia. Mereka berduit. Itulah alat keduniaan yang mereka gunakan dan itu jualah alat yang kita sering intepretasikan sebagai "pembawa kerosakan kepada jiwa & agama". Rugi..rugi + bodoh keldai. Apa hendak dibuatkan, Guru kala ini suka berpesan tinggalkan dunia..tinggalkan dunia..tinggalkan dunia..dunia membutakan hati.. tanpa disusuli penerangan yang hikmah untuk dijadikan sandaran. Peringatan kepada diri yang berbicara, ilmu yang diperturunkan Allah (Al-Quran) di muka bumi adalah untuk memajukan seluruh alam dan segala isinya sesuai dengan tanggungjawab manusia sebagai khalifah di muka bumi, bukan khalifah di Syurga atau Neraka. Rujuk kembali surah Al-Baqarah ayat 30-38. Ilmu (Al-Quran) yang diperturunkan adalah untuk digunapakai di sini, ia sudah tidak bermakna untuk digunapakai di alam sana. Dunia & segala isinya wajar dibangunkan supaya manusia faham keperluan untuk menetap di alam abadi yang tiada susah hanyalah nikmat & selamat jika natijahnya adalah Syurga dan begitulah sebaliknya.

Berbicara tentang ilmu. Ilmu yang baik, walaupun tidak pernah terwujud pada pengamatan melalui peraturan keilmuan & pengajian kita, janganlah cepat dicantas hanya dek kerana ia mencabar kewarasan dan rasional pemikiran kita pada ketika ini. Lihatlah sunnah sejarah cendekiawan-cendekiawan terdahulu. Cetusan ilmu yang terwujud daripada mereka sering mencabar kewarasan aqliah masyarakat pada zaman tersebut. Mereka dipulau, mereka dipenjara & diseksa, mereka digelar gila atas penemuan mereka. Perlu kita ingat, jika tidak kerana kegilaan mereka, usahlah kita bermimpi merasai kemudahan dan kesenangan pada ketika ini. Jika tidak kerana ke’gila’an Muhammad S.A.W meninggalkan kulitnya Makkah & segala isinya untuk berhijrah ke persada baru iaitu Madinah, Usahlah kita berimpi bertuhankan Allah di saat ini. Wahai para pencinta ilmu, Sekiranya manusia-manusia pelik seperti itu wujud di kala ini, janganlah kita mengulangi sejarah kebodohan dan kejumudan puak-puak yang tidak mahu menerima perubahan dan pembaharuan tersebut. Kerana kita adalah orang-orang yang di katakan mengaji (konon Ulul Albab..) dan seharusnya lebih mengerti dari yang lain. Jika tidak, kita akan terus hanyut tenggelam dengan retorik pemikiran yang menjadi pegangan kerana menolak kebenaran yang sedia ada. Inilah pengajaran yang wajar diambil melalui kisah Nuh A.S. Janganlah hidup umpama burung kakak Tua. Segala apa bala dalil Al-Quran & Hadis mampu dikeluarkan melalui lafaz, akan tetapi tidak mampu dipertahankan melalui perbuatan. Pada masa yang sama, perlulah pandai membezakan antara tajdid, bid’ah dan liberal. Janganlah disamakan ia menjadi satu supaya tidak timbul lagi istilah Islam gaya orthodox & Islam gaya moden. Sungguh kera siapa yang suka mengungkapkan demikian. Rugi..Rugi. Janganlah cepat bercempara melatah apabila sesuatu isu timbul. Kera sahaja yang layak begitu.

Begitulah hebatnya institusi Iqra’ gagasan Muhammad S.A.W yang berteraskan ilmu yang menjangkau zaman & pemikiran. Oleh itu, janganlah suka mencatas pokok orang lain kerana di rasa tidak sesuai dengan pokok kita. Ambillah pedoman terhadap manfaat ilmu yang tunasnya menjulang tinggi sampai ke langit, teras akarnya kukuh tidak dihalang tumbesarannya lalu memberi manfaat pelbagai kepada alam sejagat. Rujuklah Surah Ibrahim ayat 24 moga beroleh manfaat bersama. Sejarah pasti berulang. Umpama yang di kata “sama tapi tak serupa”. Jika masyarakat jahiliyah dahulu hebat dalam membangkang kebenaran, janganlah kita pada ketika ini mengulangi ia dalam prospek yang lebih celaka daripada masyarakat Jahiliyah. Mengaku Islam tetapi menafikan kerelevenan Al-Quran boleh dipakai sepanjang zaman terutamanya dalam aspek kemajuan. Menafikan kehendak ilmu yang sifatnya sentiasa berkembang dek kerana wujudnya waris-waris Muhammad S.A.W yang hendak berfikir. Biarlah golongan-golongan retorik kekal dengan kebanggaan mereka terhadap pembicara-pembicara yang melakonkan watak-watak waris serba kekurangan. Itulah yang sering mereka nampak & sering mereka banggakan. Biarlah… semoga bersama kita peroleh rahmat dan redho daripadaNya biarpun ramai dikalangan Umat Muhammad S.A.W pada ketika ini mengaku bahawa Baginda tidak tahu membaca & menulis dek hanya kerana tohmahan orientalis yang bijak memacu persoalan. Baginda tidak pernah berdusta.. Ingatlah baginda suci dari segala kekurangan. Akhir kata, Jangan takut untuk manjadi “gila” kerana itulah sunnah Muhammad S.A.W. Moga beroleh kebaikan dalam bicara yang serba kurang ini.

p/s : sengaja menggunakan "saya" sebagai ganti nama diri..haha.. best2! Terima kasih kepada rakan-rakan seperbincangan yang suka "memabukkan diri" di waktu malam berbincang pengalaman & kajian masing2.

4 comments:

tidaktahu said...

test2...

luluu said...
This comment has been removed by the author.
luluu said...
This comment has been removed by the author.
luluu said...

ngomen2..ngomel2..haha..da bole